01 Jul 2017

Program di Glasgow timbulkan cinta pada dunia iklanMDIS in the News

ENCIK Abdul Rahman Abdul Rashid menyifatkan dirinya sebagai belia yang tidak betah duduk diam dan sering berubah-ubah minat dan kecenderungan.

Jika dahulu beliau bercita-cita menjadi wartawan malah mengikuti kursus Diploma Sebaran Am di Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS), cintanya juga pada bidang bunyian dan perfileman.

Namun, beliau tidak pernah menjangka rezeki lumayannya terletak pada bidang pengiklanan sehinggalah dirinya mengikuti kursus ijazah reka bentuk komunikasi di Sekolah Seni Glasgow Singapura.

Pengalaman tiga minggu mengikuti program penyerapan di kampus institusi itu di Glasgow, Scotland, malah membuka mindanya pada idea lebih kreatif dan ‘gila-gila’ yang tidak pernah diteroka sebelum ini.

Keunikan idea sebegitulah yang diterapkan dalam projek tahun akhirnya, What’s Wrong With Black Sheep? Ia dihasilkan dalam bentuk majalah dengan pelbagai ilustrasi, cogan kata dan stail huruf yang diselongkar
secara terperinci tetapi santai.

Kegigihan Encik Abdul Rahman, 26 tahun, berfikir secara spontan dan kreatif itu menarik perhatian pensyarahnya.

Beliau adalah pelajar cemerlang yang berjaya diterima dalam program baru UPSTARTS yang merupakan inisiatif penempatan kerja yang dipercepatkan buat lulusan universiti.

Program ini merupakan kerjasama Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dan Institut Pengiklanan Singapura (IAS).

Matlamatnya ialah memperbaiki usaha menarik bakat berpotensi dalam bidang pengiklanan di samping memajukan latihan kemahiran bagi lulusan baru yang ingin mempertingkat potensi mereka dalam dunia pengiklanan.

Encik Abdul Rahman akan menyertai agensi pengiklanan mapan, Ogilvy & Mather, Isnin ini bagi latihan setahunnya.

Ketika ditemui Gah!, pemuda ramah ini berkata: “Seni kreatif dekat di hati saya. Masalahnya, kecenderungan saya sering berubah-ubah. Perjalanan yang saya lalui dalam mengejar cinta sebenar juga panjang. Saya tidak hanya ingin mendalami sesuatu bidang dan mudah bosan jika terlalu lama terperuk dalam satu cabang seni kreatif.

“Awalnya, saya minat menulis malah ingin jadi wartawan dan mengambil Diploma Sebaran Am. Apabila mendapati tulisan yang dihasilkan dalam dunia kewartawanan kadang kala membatas daya kreatif saya, minat saya beralih arah pada bidang perfileman pula. 

“Reka bentuk komunikasi, bagaimanapun, memberi saya kepuasan kerana ia mencabar saya agar berani meluahkan idea di luar dugaan ramai orang. Daya kreatif saya benar-benar diuji.”

Majalah berwarna-warni What’s Wrong With Black Sheep? yang seronok dibelek itu timbul daripada pengamatan Encik Abdul Rahman tentang iklim politik menyusuli perlantikan Presiden Donald Trump sebagai pemimpin Amerika Syarikat. 

“Saya lihat banyak perkongsian maklumat dan pandangan tersebar dengan begitu meluas di media sosial.

“Ada yang terbawa-bawa dengan emosi. Ada yang terpengaruh dan mengambil perkara yang dikongsi bulat-bulat tanpa menyelidiki kesahihannya. Justeru itu, timbul masalah kita sebagai pengguna media sosial dibebani dengan terlampau banyak maklumat,” jelasnya.

Isu-isu sebeginilah yang beliau kongsi dalam cebisan seni yang direkanya dalam majalah tersebut.

Ditanya tentang program UPSTARTS yang bakal disertainya, Encik Abdul Rahman berkata:

“Saya hanya mencuba nasib saya dalam program ini kerana tertarik dengan kisah seorang penulis iklan yang saya temui di London.

“Ia peluang keemasan bagi saya mengetahui lebih mendalam tentang dunia pengiklanan yang mencabar dan memerah seluruh jiwa raga dan minda anda.

“Pucuk pangkalnya, kita harus berani bermain dengan kata-kata dalam dunia pengiklanan. Bagi saya, ia adalah satu kemahiran yang saya harap dapat saya teroka di dalam program UPSTARTS kelak.”

Mengenai pengalaman di Glasgow, beliau menyifatkannya sebagai membuka mata dari segi pertukaran idea dan pengalaman yang mampu diraih.

“Glasgow kekal sebagai kota kegemaran saya kerana suasana dan budaya kreatifnya yang menyerlah dan merangsang minda,” katanya.

 

Source: Berita Harian, 1 July 2017 © Singapore Press Holdings Limited. Permission required for reproduction. Click here to view PDF.

唐人街探案3免费国语高清,唐人街探案3在线观看免费完整版,唐人街探案3在线播放完整版